Sunday, October 20, 2013

Salam Aidiladha 1434H

Salam Aidiladha.

Aidiladha kembali lagi. Kemeriahan korban dikampung Pinang Tunggal seperti tahun-tahun sebelum ni. Sedihnya kali ni kami tidak berpeluang untuk rakamkan foto sepanjang rentetan peristiwa @ upacara korban yang dijalankan kerana sibuk dengan urusan masing-masing.

Tahun ni sebanyak 7 ekor lembu dikorbankan. 5 ekor pada hari raya pertama dan 2 ekor hari raya ke 2. Seperti biasa sembelihan dilakukan dipadang berhampiran Surau Permatang Saga.




Gambar yang aku kongsi disini bukan korban disurau Permatang Saga, tapi dibelakang rumah aku. Foto ni pun bukan aku yang shoot, sebab masa ni aku dah pun berada di Terengganu.
Di Kelantan ada 60 ekor lembu ditumbangkan untuk diagihkan kepada 1500 fakir miskin. Majlis anjuran Majlis Agama Islam Kelantan turut mendapat perkenan Sultan Kelantan untuk sendiri menyembelih 2 ekor lembu kali ni.

Yang peliknya, selalu keluar TV tu asyik cakap negeri Kelantan ni miskin..:-p

Update Persatuan Sejarah Pulau Pinang - Kepala Batas:

Kami dapat pesanan text beserta panggilan dari Cikgu Anuar beberapa hari lepas. Beliau maklumkan  mesyuarat persatuan akan berlangsung Selasa ni, 22hb. Hari kerja tu cikgu..susah gak nak p ni..:-)


-jzan-

Tuesday, August 6, 2013

Sekitar Ramadhan 2013 Di Pinang Tunggal

Di penghujung Ramadhan ini admin ingin berkongsi sedikit cerita tentang apa yang berlaku sepanjang Ramadhan di Pinang Tunggal. Meskipun ramai anak muda Pinang Tunggal kini tinggal di luar, suasana di Pinang Tunggal masih meriah. Pelbagai aktiviti dianjurkan dan berjalan sekitar Pinang Tunggal sepanjang Ramadhan ini.

Pada hari sabtu 3 Ogos 2013 yang lalu telah berlangsung Majlis Penyampaian Duit Raya kepada anak-anak yatim di DUN Pinang Tunggal. Majlis disempurnakan oleh ADUN Pinang Tunggal Dato Roslan dan diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Keladi. Ramai anak-anak yatim yang mendapat duit raya pada majlis tersebut.
Majlis Penyampaian Duit Raya Oleh YB Pinang Tunggal
Ibu Bapa yang menemani anak mereka
Satu perkara yang menarik perhatian saya di Pinang Tunggal adalah, kini telah wujud seakan bazar Ramadhan di tapak pasar malam Pinang Tunggal. Kalau dahulu hanya peniaga peniaga makanan yang mempunyai kedai di sekitar tapak itu sahaja yang berniaga, kini semakin ramai peniaga yang mengambil bahagian. Salah satu gerai yang mendapat perhatian ramai adalah gerai Ayam Panggang dan Murtabak. Disamping itu juga terdapat gerai gerai yang menjual kuih muih.
Pelanggan beratur membeli juadah
Pandangan dari bawah gerai

Gerai Air Pun Ada
Semoga bazar ni akan semakin meriah tahun hadapan. Pada kesempatan ini pihak kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin kepada semua pembaca blog ini.

Saturday, July 27, 2013

Selamat Kembali

Assalamualaikum & Salam 1 Malaysia kepada pembaca sekalian. Pihak admin Pinang Tunggal Revisit ingin memohon ribuan ampun dan maaf di atas ke tidak urusan blog ini hampir setahun lamannya. Ini disebabkan kedua-dua admin blog ini terlalu sibuk dengan urusan kerja dan juga peribadi. Di samping kurangnya kami pulang ke Pinang Tunggal menyebabkan banyak berita tidak dapat kami kutip.

Saya sebagi salah seorang admin pula agak sibuk dengan urusan kerja hingga menghalang untuk melakukan proses kemas kini blog ini. Disamping itu saya juga sedang perlahan lahan mengkaji tentang batu terat ke 3. Sebenarnya Pinang Tunggal semakin meriah dengan aktiviti. Pun begitu kawasan kampung Permatang Setar khasnya di bahagian berhampiran masjid semakin hambar kerana ramai penduduknya telah berpindah kerana projek landasan berkembar keretapi Ipoh ke Padang Besar.  Disamping itu, penduduk Pinang Tunggal tepi sungai juga semakin sunyi kerana projek tebatan banjir.
Syarikat GAMUDA dan KTM sibuk menyiapkan landasan kedua di Permatang Setar. Kelihatan Lori Bertayar keretapi.
Selain dari itu, Masjid Pinang Tunggal juga telah pun diruntuhkan sepenuhnya dan sedang menjalani proses pembesaran. Yang sedihnya kemeriahan Ramadhan seperti program moreh sudah semakin berkurangan. Mungkin kurangnya warga Pinang Tunggal menjadikan kampung ini semakin sunyi memandangkan ramai warga mudanya berpindah keluar kerana perlu bekerja.  Walau bagaimana pun, Pinang Tunggal akan kembali meriah apabila syawal menjelang nanti. Cuma raya kali ini kurang meriah kerana masjid belum siap dibina semula.

Apapun kami, pihak admin Pinang Tunggal Revisit ingin mengucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Hari Raya kepada pembaca sekalian. Sekiranya terdapat entry kami di dalam ini yang mengguris perasaan pembaca, kami ingin menyusun jari memohon maaf kerana apa yang ditulis hanyalah pandangan dan juga hasil pemerhatian kami bila pulang ke Pinang Tunggal. 

Monday, August 27, 2012

Sekapur Sirih, Seulas Pinang

Alhamdulillah..Alhamdulillah..Alhamdulillah..

Bulan Ramadhan telah pun berlalu pergi. Insya-Allah jika dipanjangkan usia ini, kita akan bertemu lagi bulan Ramadhan pada tahun hadapan, bulan yang lebih baik dari seribu bulan.

Sedar tak sedar blog ini sudah mencecah lebih 2 tahun. Blog Pinang Tunggal Revisit yang dulunya ditubuhkan hanyalah sekadar untuk mengabadikan kisah-kisah menarik dikampung dan coretan kami mengenai perkembangan semasa kampung Pinang Tunggal; namun kami besarkan skop penulisan tentang keadaan sejarah dan peradaban, pembangunan dan kependudukan termasuk sosiobudaya khususnya di kampung Pinang Tunggal.

Ingin kami tekankan disini bahawa apa yang dipaparkan diblog Pinang Tunggal Revisit ini adalah berdasarkan kajian dan penyelidikan penulis secara menyeluruh, namun maklumat dari sumber-sumber yang sahih adalah yang paling kami utamakan. Jika ada sebarang perbezaan pendapat dan maklumat dari luar sana, sila berhubung terus dengan penulis supaya kajian terperinci dapat dilakukan bersama.

Sebagai negeri yang pertama di Malaysia yang ditakluki kerajaan Inggeris, sudah tentu banyak kisah menarik atau unik yang ingin dikongsi bersama. Justeru itu, kami amat mengalu-alukan sebarang bentuk pandangan dan buah fikiran termasuk kisah sejarah yang melibatkan Pulau Pinang (Pinang Tunggal khususnya) untuk diabadikan diblog Pinang Tunggal Revisit. Kami yakin dengan penglibatan dari pelbagai pihak diluar sana bukan sahaja memungkinkan blog ini penuh dengan informasi sejarah, tapi juga sebagai sumber maklumat dan rujukan untuk generasi muda akan datang.

Melalui kerjasama dan sokongan dari Persatuan Sejarah Malaysia, harapan kami usaha yang kecil ini bukan sahaja dapat memberikan manfaat untuk golongan muda, bahkan juga untuk para pengkaji-pengkaji sejarah ditanah air.

Disini kami sidang pengarang Pinang Tunggal Revisit (PINANG TUNGGAL, Kepala Batas) mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada pengunjung blog ini seterusnya kepada seluruh umat Islam yang menyambutnya. Ceria dan senyum selalu.

Sekian,

Administrator,
penangtunggal.blogspot.com

Sunday, August 19, 2012

Misi Mencari Kembar Terat Batu

31 Ogos akan menjelang lagi.Dua tahun lalu sewaktu 31 Ogos pihak Pinang Tunggal Revisit telah mencoretkan tentang sejarah Batu Sempadan yang wujud di dalam kawasan Pinang Tunggal. Tulisan berkenaan batu sempadan itu dapat dibaca di SINI Hasil coretan tersebut telah menarik perhatian Persatuan Sejarah Kawasan Kepala Batas untuk datang dan melawat monumen tersebut dan melakukan serba sedikit kerja kerja pemulihan iaitu dengan membersihkan semak samun dan mengecat semula batu tersebut seperti mana yang terdapat di entry INI. Pun begitu hasrat asal kami untuk menarik perhatian pihak Ahli Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal tidak kesampaian. Walaubagai mana pun usaha yang dijalankan oleh Persatuan Sejarah Kawasan Kepala Batas telah menarik perhatian Persatuan Siam Kedah yang begitu kuat melobi pihak kerajaan untuk memulihara batu tersebut. Usaha mereka telah bermula sejak tahun 2010 lagi melalui laman web mereka di SINI. 
Akhirnya usaha yang dijalankan oleh mereka telah berjaya kerana pihak Persatuan Siam Kedah mempunyai seorang Senator mewakili kaum Siam yang bernama Senator Boon Som Inong . Dengan sokongan daripada Senator berkenaan dan juga Konsul Thailand di Pulau Pinang, pihak jabatan warisan negara telah mengambil inisiatif melawat tapak berkenaan bersama pihak Senator Boon Som Inong,Pengarah Bahagian Pendaftaran dan Penguatkuasaan Jabatan Warisan Negara dan juga Ketua Pengarah Bahagian Triti Perundangan Kementerian Luar Thailand, Ittiporn Boonprachong.

Kini monumen batu sempadan berkenaan telah pun dipasang dengan pondok yang melindunginya dari panas dan hujan. Yang kami kesalkan ialah usaha permulaan yang dijalankan oleh pihak Persatuan Sejarah Kawasan Kepala Batas langsung tidak dinyatakan dalam sidang media berkenaan. Berita penuh lawatan pihak berkenaan telah menjadi sisipan dalam akhbar utama iaitu Utusan Malaysia seperti dipaparkan dalam laman web INI.

Bagi orang melayu, batu Sempadan ini seperti tidak ada signifikannya kerana tidak memberi sebarang faedah kepada orang Melayu. Tapi bagi pihak masyarakat Siam di Malaysia batu ini amat bermakna bagi mereka. Batu ini menjadi bukti kukuh dalam usaha mereka menolak tuduhan pihak-pihak tertentu yang cuba menafikan hak mereka dengan menyatakan mereka adalah pendatang di bumi Malaysia ini. Soal pendatang bukanlah soal penting bagi masyarakat Siam di Malaysia tapi lebih kepada isu hak mereka yang belum dipenuhi walaupun di iktiraf oleh kerajaan sebagai Bumiputra Malaysia. Pun begitu masih terdapat beberapa isu yang masih belum selesai walaupun dengan pengiktirafan mereka sebagai bumiputra. Antara isu yang masih manjadi duri dalam daging bagi masyarakat Siam di Malaysia ialah isu tanah rezab. Mereka masih memperjuangkan hak mereka mendapat tanah rezab sama seperti kaum Melayu yang mempunyai Tanah Rezab Melayu. Disamping itu juga mereka sedang berusaha mendapatkan kouta rumah Bumiputra sama seperti yang dimiliki oleh orang Melayu.

Penulis tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai usaha pihak Masyarakat Siam dan perjuangan mereka memohon hak dari pihak kerajaan kerana saya sendiri mempunyai ramai kawan dari masyarakat Siam. Penulis tidak pernah menganggap mereka sebagai pendatang kerana mereka sebenarnya telah pun berada di sini sebelum British sampai ke Malaya.  Hubungan antara masyarakat Siam dan Melayu telah lama wujud dan mereka seharusnya di berikan hak sama seperti orang Melayu.

Apapun penulis agak terkilan kerana usaha yang pemuliharaan yang dijalan oleh Persatuan Sejarah Kawasan Kepala Batas dan juga kami di Pinang Tunggal Revisit,dipandang sepi oleh pihak berkuasa. Untuk pengetahuan semua, penulis telahpun berusaha memperjuangkan nasib Batu Terat Sempadan ini sejak kali pertama mendengar kisahnya dari arwah nenek penulis.Bahkan waktu penulis di tingkatan 3 lagi penulis telah berusaha merakamkan gambar keadaan batu ini yang tidak terurus. Pada waktu itu batu ini sukar untuk didekati kerana terletak di tengah sawah padi. Hanya satu batas sempit yang menghubungkan batu ini dari arah Pulau Pinang dan juga Kedah.Untuk datang dari arah Pulau Pinang, penulis terpaksa memanjat pagar berkawat duri sebelum meniti di atas batas sempit. Baru-baru ini penulis telah menemui semula negatif filem asal yang penulis ambil pada tahun 1998 yang lalu.Jika berkesempatan penulis akan cuba memaparkan wajah asal batu ini pada waktu itu.

Keadaan Batu Terat Pada Tahun 1998
Batu Terat Yang Terletak Di Atas Batas Dihujung Batas Terdapat Kubur Lama Di Dalam Kebun Getah
Pada waktu itu batu ini langsung tidak dipandang orang. Tambahan pula penduduk kampung takut mendekati batu ini kerana kononnya dibawah batu ini ditanam kepala orang bagi mengukuhkannnya. Kalau dapat dilihat di hujung batas ini pula dibawah lindungan pokok getah terdapat beberapa kubur lama yang dikatakan keramat. Itu kisah 15 tahun yang lalu.Kini Batu Terat ini mudah sahaja didekati kerana projek tebatan Sungai Muda menyebabkan kawasan sekeliling batu ini telah di sediakan jalan yang boleh digunakan oleh kenderaan.

Pada mesyuarat Agung Persatuan Sejarah Kawasan Kepala Batas yang berlangsung pada 17 Julai 2012 yang lalu, Penulis telah mengusulkan supaya pihak persatuan mencari kembar kepada Batu Sempadan ini. Menurut tulisan sebuah buku yang penulis pernah baca pada awal 1990an yang lalu, sebenarnya terdapat 3 batu seumpama ini yang menjadi tanda sempadan Pulau Pinang selepas perjanjian dengan siam pada 1831. Batu sempadan pertama yang dibina ialah yang terletak di sempadan kampung Terat Batu dan juga Ekor Kucing/ Bukit Sementol Pinang Tunggal. Seterusnya pihak British membina batu-batu sempadan yang lebih kecil dan tidak mempunyai inskripsi sepanjang garis sempadan hinggalah ke bahagian belakang Banjaran  Timur Bukit Mertajam. Di belakang banjaran timur Bukit Mertajam Terdapat sebuah lagi batu Sempadan yang besar yang mempunyai inskripsi. Walaubagaimana pun batu berkenaan dikatakan telah dimusnahkan sewaktu proses pembinaan empangan Mengkuang.Banyak pihak keliru dengan batu batu sempadan lain yang lebih kecil seperti yang terdapat di dalam ladang Sawit di belakang kawasan rumah murah Kampung Selamat.
Kedudukan Tiga Batu Sempadan Yang Mempunyai Tulisan
Memandangkan setiausaha kehormat Persatuan Sejarah Kawasan Kepala Batas bertugas di Pusat Kegiatan Guru (PKG), penulis memohon jasa baik beliau untuk menghubungi pengurus PKG-PKG di kawasan Seberang Perai Selatan dan juga Bandar Baharu Kedah untuk membantu proses mengesan batu Sempadan terakhir yang mempunyai inskripsi. Pencarian ini adalah berdasarkan satu petikan dari sebuah buku yang dimiliki penulis. Sayangnya penulis gagal mencari tajuk buku tersebut kerana telah rosak dalam banjir besar 2003 yang lalu.Berdasarkan buku tersebut batu sempadan ketiga terletak di suatu kawasan bernama Bukit Tunggal yang terletak di sempadan antara Kedah dan Pulau Pinang pada waktu itu 
Catatan Dalam Sebuah Buku Sejarah Berkenaan Kedudukan Batu Sempadan
Ironisnya Bukit Tunggal yang mempunyai nama seakan Pinang Tunggal telah menjadi tempat untuk pihak British meletakkan Batu Tanda Sempadan berinskripsi terakhir. Pada waktu itu sempadan Seberang Perai atau Province Wellesley adalah menggunakan Sungai Muda dan juga Sungai Krian sahaja dan melibatkan negeri Kedah yang terletak di bawah naungan kerajaan Siam. Walaubagaimana pun sekiranya dilihat sempadan Seberang Perai sekarang terdapat satu jaluran tanah diseberang Sungai Krian yang menjadi sebahagian Seberang Perai.Sebenarnya tanah ini telah diberikan oleh Kesultanan Perak selepas perjanjian Pangkor pada tahun 1874 yang juga beransur curang. Kawasan itu kini lebih dikenali sebagai Transkrian.

Pihak Penulis telah berusaha berberapa kali untuk menjejak batu berkenaan tetapi gagal kerana Bukit Tunggal sudah tidak lagi wujud dalam peta terbaharu Pulau Pinang. Walaubagaimana pun pada peta yang penulis miliki pada tahun 1996 nama Bukit Tunggal masih wujud. Kini satu-satunya harapan adalah melalui pertanyaan yang dilakukan oleh Cikgu Anuar. Semoga beliau berjaya menemui kedudukan batu berkenaan untuk dilawati dan dipulihara oleh Persatuan Sejarah Cawangan Kepala Batas. Siapa tahun mungkin selepas penemuan ini Batu Sempadan itu mempunyai nilai signifikan kepada pihak pihak tertentu.


Wednesday, August 1, 2012

Update - Perkembangan terkini jejambat Pinang Tunggal

Assalamualaikum w.r.t.

Daripada Anas (r.a), Katanya: Bersabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba apabila melihat ia sehari bulan Ramadan lantas dia memuji Allah  ( kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaanya) kemudian dibacanya Al-Fatihah tujuh kali, melainkan diafiatkan Allah daripada sakit matanya pada bulan ini.

Alhamdulillah. Ramadhan menjelma lagi. Bersyukur ke atas segala nikmat dah rahmat yang Allah berikan yang membolehkan kita bertemu lagi pada ramadhan tahun ni.

Entry kali ini kami ingin berkongsi beberapa keping gambar terkini flyover Kg. Pinang Tunggal yang pada kiranya telah hampir siap sepenuhnya. Mungkin pada entry sebelum ini kami hanya paparkan gambar² yang sedang dalam pembikinan, dan ramai antara rakan² yang tertanya² dan belum nampak bagaimana finishing flyover ni. Lihat, dan sila berikan pandangan anda. Segala komen dari anda amat kami dihargai.

* Klik gambar untuk saiz besar.

Jalan lama menghala ke Pinang Tunggal

Traffic light. Dengaq² cita bakal jadi round about.
Pandangan dari jarak dekat. Pembinaan Laluan keretapi dibawah flyover. jalan lama ditutup sepenuhnya.

Kelihatan lori-lori keluar masuk.Kelihatan juga menara masjid disebelah kiri.

Flyover turun betul² depan masjid. Kat sini yang nampak macam tak kena skit..:-)

Reverse gambaq skit, jalan menghala ke traffic light.



Gambar² selanjutnya Insya-allah akan menyusul.

Kesempatan ini kami selaku penggerak blog penangtunggal.blogspot.com ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan dan Selamat berpuasa, dan selamat berterawih.

Monday, April 9, 2012

Kenali Kampung-Kampung Di Pinang Tunggal- Kampung Lembah Raja

Pinang Tunggal adalah satu daerah yang mempunyai Poskodnya sendiri iaitu 13210. Terdapat beberapa buah kampung didalam daerah ini.Setiap kampung mempunyai kisah yang tersendiri.Pada siri kenali kampung di Pinang Tunggal ini saya akan bawakan anda semua mengenali salah sebuah kampung di dalam Daerah Pinang Tunggal iaitu Kampung Lembah Raja.Kalau anda semua peminat sejarah pastinya anda perasan yang nama kampung ini menyerupai nama satu kawasan di Mesir yang kaya dengan sejarah Firaun dan juga Mumianya iaitu Valley of The Kings. Sebenarnya Kampung Lembah Raja ini pun mendapat nama disebabkan oleh unsur unsur sejarah khususnya sejarah Kedah Tua. Untuk makluman Pinang Tunggal juga sebenarnya tercatat dalam peta arkeologi di Muzium Lembah Bujang sebagai salah satu tempat yang mempunyai peninggalan Kedah Lama.Bahkan satu tempat di Sebelah Pinang Tunggal Kedah pernah dikatakan menjadi pelabuhan yang cukup sibuk iaitu Pelabuhan Srokam. Pelbagai artifak juga pernah ditemui di dalam Sungai Muda berhampiran kawasan Pinang Tunggal ini.

Kampung Lembah Raja adalah salah sebuah kampung yang letaknya bersebelahan Sungai Muda. Kawasannya berlembah dan dikelilingi beberapa buah "pulau" yang membentuk kampung menjadikannya salah s
ebuah kawasan yang sesuai untuk penanaman padi.
Menurut sejarah, Kampung ini dinamakan sebagai Lembah Raja kerana terdapat hubungan rapat kawasan kampung ini dengan raja yang memerintah suatu ketika dulu.Dikatakan kawasan kampung yang berlembah ini telah digunakan oleh raja pada zaman dahulu untuk menambat gajah-gajah tunggangannya. Pada waktu itu gajah merupakah kenderaan utama para raja. Memandangkan kawasan lembah raja ini berhampiran juga dengan sungai Muda, kedudukannya amatlah strategik untuk menambat gajah-gajah
milik raja dan juga memudahkan gajah-gajah ini dimandikan di Sungai Muda.

Gambaran Gajah Yang Diikat Pada Tumang

Dikatakan terdapat penduduk Lembah Raja yang menemui Tumang yang diperbuat daripada tembaga dan juga timah suatu ketika dahulu. Tumang adalah sejenis peralatan yang lazim digunakan mengikat haiwan supaya tidak bebas bergerak.Tumang biasa berbentu rod berhujung tirus dan digunakan dengan cara membenamkannya ke dalam tanah sebagai pasak bagi mengikat tali haiwan peliharaan atau tunggangan. Keadaan yang berlembah juga sesuai untuk menempatkan gajah kerana tebing disekeliling lembah boleh bertindak sebagai kepungan semulajadi. Sempena peristiwa menambat gajah-gajah raja di kawasan ini maka kampung ini telah dinamakan sebagai Kampung Lembah Raja




Contoh Tumang Tembaga-Gambar Diambil Dari Internet

Monday, January 30, 2012

Padi Angin Menyerang Kg. Pinang Tunggal

Hari keluar Sinar Harian (baca sini) para pesawah di kawasan Pinang Tunggal mengalami kerugian akibat "penyakit misteri" yang melanda padi mereka. Kalau ikut berita tu, aku rasa 80% sindrom penyakit misteri banyak persamaan dengan penyakit Padi Angin. Mungkin kita jarang dengar penyakit ni, lagipun mungkin ni pertama kali berlaku di Pinang Tunggal, memandangkan orang-orang lama di kampung tu pun pelik dengan penyakit tu. Kalau dulu mungkin dah biasa dengan penyakit kulat, siput gondang emas. Ada tikus banyak. Namun tidak seteruk penyakit padi angin ni, sebabnya penyakit ni dia serang terus batang-batang padi. Contohnya padi mudah relai kalau kita genggam & mudah tumbang.
Gambar sumber SinarHarian

Sebenarnya kalau nak ikutkan penyakit ni serang padi-padi yang ditanam secara tabur. Di kawasan Pinang Tunggal pun rata-rata pesawah mengamalkan sistem tabur untuk tanaman padi. Cuma mungkin di satu dua tempat sekitar Lembah Raja yang masih menggunakan tanaman menanam secara manual. Berlainan di kawasan Sungai Dua, aku terperasan ramai pesawah masih amalkan sistem menanam secara manual. Gotong-royong ramai-ramai.

"Tetapi menghairankan, pokok padi itu hidup subur dan tidak pula mati." Quote dari Sinar Harian.

Sememangnya ini salah satu sifat penyakit padi angin dimana biji tahan lama dalam tanah. Tambahan pula biji beras ni bukan bentuk macam biasa, tapi dia pendek sikit & warna pun nak coklat lebih. Seperti warna nak karat. Pada peringkat ni kala sembur racun pun memang tidak boleh mendatangkan sebarang kesan kepada pokok.

Tak ada jalan mudah nak selesaikan masalah ni. Pesawah kena bajak balik tanah tu. Bajak betul-betul sampai hancur akar-akar dan rumpai halus semua. Nanti biji benih tumbuh, pesawah terus boleh bagi racun kimia. Lepas tu bagi api kat jerami, bakar bagi mati benih-belih padi angin tu. Baru boleh step lain, nak bajak balik, sembur racun lagi, bajak lagi..sampai ke tabur benih padi. Kemudian kalau ada lagi padi angin, pesawah kena potong secara manual la pulak. Buang mana-mana yang dikenalpasti padi angin. Apa pun ni cuma jangkaan aku ja. Tak mustahil penyakit lain yang terkena padi ni.

Susahkan jadi pesawah. Kita la ni cuma pergi kedai, beli beras 5 kilo/ 20 kilo, balik masak ja. Aku tau sikit-sikit ni pun sebab bapak aku pun pesawah gak. Aku buat research sikit. Zaman kecik dulu pun rajin turun sawah, bajak sawah dengan kebota (Enjin Gala kata orang Terengganu), tangkap ikan masa orang tengan mesin padi (Enjin ngetam), berkelah tepi sawah dengan akak-akak, pasang khemah kain, kena ligan dengan anjing, main baling-baling lumpur..:-)

info : Ramai yang tak tahu bagaimana Kepala Batas boleh dapat nama. Sebenarnya batas tu adalah benteng menahan air nak bagi paras air dalam sawah tu tak terlampau banyak. Jadi, untuk mengatasi masalah ni batas air kena dijaga sepanjang masa. Jadi Kepala batas pula bermaksud bahagian depan sawah padi dan wujudlah nama Pekan Kepala Batas.

-jzan

Sunday, November 6, 2011

Aidiladha 2011

Lokasi : Padang Surau Kg Permatang Saga
Lembu dikorbankan : 6 Ekor
Masa : Lepas Solat Hari Raya Aidiladha
(* klik gambar untuk besar)







Sunday, October 9, 2011

Perkembangan Jejambat Pinang Tunggal Dan Hantu Siam

Dah lama blog ni tak update. Kedua dua moderator sibuk dengan urusan masing-masing.Saya pula sekarang bermastautin jauh di Perak sana.Kesempatan petang sabtu lepas saya meronda dengan motosikal sekeliling Pinang Tunggal.Tapi terlupa pula nak bawa kamera jadi saya pun shoot pakai kamera handphone ja la.Mau tak mau kenala edit sikit sebab pixel kamera handphone ni tak secantik kamera digital. Pertama sekali saya ronda ialah kawasan jejambat baru kat depan masjid.Jejambat ni dah siap dah.Cuma pihak kontraktor kena tambak tanah dan buat pengadang ja sebelum turap jejambat tu dengan tar. Jejambat ni dibina untuk projek landasan keretapi berkembar. Memandangkan keretapi ni gunakan eletrik bervoltan tinggi, penggunaan get macam keretapi biasa tak boleh digunakan sebab boleh menyebabkan renjatan kepada kenderaan yang melaluinya.Cuma yang lawak dengan Pinang Tunggal ni ialah, landasan keretapi ni tak dibina bersebelahan dengan landasan keretapi biasa macam di tempat lain. Maknanya selepas ni kampung Permatang Setar, akan menjadi sebuah "Pulau kerana di kiri adalah landasan keretapi eletrik dan dikanan pula landasan keretapi biasa.Permatang Setar akan dikepung oleh dua landasan berkenaan.Menambahkan lawak pula ialah selepas turun dari jejambat ni nanti, pengguna terpaksa pula menunggu di get keretapi biasa.Takpala nanti dah siap kami akan paparkan di sini.Cuma sedihnya dengan pembinaan jejambat ni banyak penduduk asal Pinang Tunggal yang kehilangan tanah dan terpaksa berpindah.Populasi di Pinang Tunggal juga semakin berkurangan. Ramai juga orang orang yang aku kenal kita berpindah entah ke mana disebabkan projek ni. Yang dikhuatirkan ialah macam mana dengan kehidupan orang orang ni semua sebab sebelum ni mereka punyai rumah yang besar dan luas serta tanah sendiri.Tapi kini mungkin terpaksa tinggal di rumah rumah taman di bandar.

Kawasan Hadapan Masjid
Pandangan Dari Arah Permatang Langsat

Dalam perjalanan balik ke rumah terpandang suasana bendang di kawasan Padang Beka. Sekarang adalah musim menakung air sebelum bendang di tanam padi. Ada yang masih membajak bendang masing-masing.Bila air ditakung ni sekali pandang nampak macam Tasik ja kawasan bendang tu.

Kawasan Bendang Mengadap Kampung Siam, Padang Beka
Sewaktu berhenti ambil gambar, aku terperasan yang ada sebuah rumah baru berwarna kuning yang baru ja siap di bina kat tepi bendang di Padang Beka.Sebelum ni kawasan tu penuh dengan belukar buluh. Dulu masa aku kecik kecik, kawasan ni amat ditakuti sebab kononnya kat situ ada hantu siam. Ramai yang kena sakat dengan hantu siam ni.Dulu kalau aku lalu kat sini dengan basikal, mesti aku pecut sampai tak ingat dunia punya. Macammana boleh keluar cerita hantu siam? Ok sebenarnya kawasan ni dulu milik seorang tua siam. Dia ni dok sorang ja.Dulu dalam belukar buluh tu ada la sebuah rumah tinggal.Katanya rumah tula rumah milik dia. Dikatakan satu malam dia keluar sorang sorang nak buang air besar ataupun berak. Masa dia berjalan kat tepi bendang ni entah macam mana dia terjatuh ke dalam bendang tu dan meninggal dunia.Bila orang jumpa badan dia dah membengkak.Dah tu ada lindah yang keluar dari telinga dan hidung dia. Sangat mengerikan.Semenjak itu jelmaan siam tu terus menghantui sesiapa saja yang lalu di kawasan itu pada waktu malam.Ada yang jumpa dia dengan badan bengkak dia tu dan darah keluar dari mata dan hidung. Memang ngerila masatu.Teringat dulu waktu belajar mengaji quran terpaksa la memecut basikal bila melalui kawasan ni.Kalau kena turn belajar lewat, jenuh aku pecut kalah jaguh pecut negara dek kerana takut hantu siam ni.Sapa tak ngeri lalu kat tepi tu pastu nampak rumah buruk yang hampir runtuh dalam rimbunan buluh tu. Tapi zaman lani aku rasa tak dak sapa dah nak takut.Sebab pa? Sebab lani hari hari cerita hantu keluar.Budak pun dah tak takut hantu dah.hehehe