Tuesday, August 31, 2010

Pinang Tunggal Dan Sejarah

Sempena Bulan Kemerdekaan yang masih belum tamat, izinkan saya untuk bercerita serba sedikit tentang Sejarah Pinang Tunggal.Mungkin ramai di antara kita yang tidak tahu Pinang Tunggal sebenarnya tercatat dalam sejarah Tanah Melayu bahkan nama Pinang Tunggal itu sendiri tercatat dalam rekod rekod sejarah yang di simpan oleh pihak British di negara mereka sekarang. Sekiranya anda berkesempatan ke Muzium Negeri Pulau Pinang anda boleh melihat nama Pinang Tunggal telah pun tercatat di dalam peta awal sebelum 1900 lagi. Tujuan saya mencoretkan tentang Pinang Tunggal Dan Sejarah adalah untuk memberi kesedaran serta mengingatkan kepada kita semua supaya benar benar menghargai erti sebenar Kemerdekaan.Salah satu lagi tujuan saya mencoretkan tentang bahan sejarah di Pinang Tunggal adalah supaya tempat sejarah tersebut dikekalkan dan tidak dimusnahkan dengan sewenang wenangnya sepertimana yang telah terjadi kepada dewan besar Sekolah Kebangsaan Pinang Tunggal.Saya amat terkilan kerana bangunan dewan tersebut telah diruntuhkan tanpa mengekalkan walau sedikit untuk dijadikan tatapan kepada generasi akan datang.Amat sayang sekali bangunan Sekolah Melayu Pinang Tunggal yang dibina pada awal 1920an itu akhirnya ranap atas nama pembangunan.Puncanya adalah kurang kesedaran dikalangan generasi baru untuk mengekalkan artifak sejarah tersebut.Salah satu lagi punca adalah ketiadaan "orang besar" yang boleh menghalang artifak tersebut daripada dimusnahkan.Saya berharap kupasan saya nanti akan membuka mata khususnya pihak Wakil Rakyat Pinang Tunggal bagi memulihara beberapa warisan yang masih kekal. Saya mahu kes bangunan sekolah itu menjadi sepertimana dewan besar SMK Tinggi Bukit Mertajam (BM High School) yang tidak dapat dirobohkan sehingga kini atas desakan Ybhg Dato Abdullah Ahmad Badawi, Ybhg Dato Shariff Omar dan ramai lagi YB YB yang pernah belajar di situ.Baiklah saya mulakan entry pertama saya berkenaan monumen bersejarah di Pinang Tunggal iaitu Batu Terat Bukit Semetol. Kalau diikutkan bahasa moden batu ini sebenarnya di panggil Batu Penanda Sempadan tetapi orang dahulu memanggilnya dengan nama Batu Terat kerana Terat mengikut kamus dewan bermaksud Batu Sempadan.

Batu Sempadan
Sewaktu Sultan Kedah menyerahkan Pulau Pinang pada 1786, Seberang Perai masih lagi berada di bawah Kesultanan Kedah. Tujuan utama penyerahan Pulau Pinang adalah supaya pihak Syarikat Hindia Timur British melindungi Kedah daripada serangan kerajaan Siam dan juga Burma.Walaubagaimana pun apabila Kedah diserang oleh Siam pada 1821, Sultan Kedah berasa amat kecewa kerana pihak British langsung tidak membantu.Baginda telah melakukan sekatan kepada Pulau Pinang di samping mengarahkan serangan kepada kedudukan British di Pulau Pinang melalui muara Sungai Perai.Walaubagaimana pun serangan demi serangan yang dijalankan gagal menewaskan pihak British dan surat arahan serangan itu akhirnya jatuh ke tangan British.Sultan Dhiauddin Mukarram Shah akhirnya terpaksa menyerahkan Seberang Perai yang dinamakan dengan nama Province Welleslay iaitu sempena nama Gabenor Inggeris. Pada mulanya seberang perai hanyalah jaluran tanah bertentangan Pulau Pinang dari Kuala Sungai Muda hingga Kuala Sungai Kerian. Walaubagaimana pun selepas perjanjian Inggeris Siam pada 1831, tanah yang menjadi milik british telah bertambah.Sewaktu inilah Batu Terat ini didirikan.

Batu Terat ini terletak di Kampung Bukit Semetol Pinang Tunggal dan menjadi batu tanda sempadan antara Negeri Kedah dan Pulau Pinang. Sempena pembinaan batu sempadan tersebut salah sebuah kampung di sebelah Kedah telah dinamakan sebagai Kampung Terat Batu. Dahulu kedudukan Batu Terat ini agak jauh di tengah bendang tetapi kerja kerja penambakan tebing penebat banjir telah menyebabkan Batu Terat ini berada betul betul di tepi tebing Sungai Muda. Diharap pihak yang berwajib dapat memulihara Batu Terat tersebut untuk tatapan generasi akan datang kerana di Batu tersebut telah mencatatkan bagaimana sekiranya kemerdekaan serta ketuanan negara tidak dipertahankan sejarah seperti ini akan berulang. Walaupun Pulau Pinang dan Seberang Perai asalnya adalah tanah milik kedah tetapi di inskripsi batu terat tertulis dengan gah perkataan "British & Siamese Boundry". Perkataan Kedah langsung tidak disebut sekaligus menidakkan kekuasaan Kedah sebagai pemilik asal sebaliknya Siam pula disebut sebagai pemilik tanah ini. Oleh itu pengekalan batu ini amat singifikan dalam memberikan peringatan kepada generasi masa kini tentang peri pentingnya mempertahankan kedaulatan Malaysia bumi bertuah ini.

Berdiri Teguh Menempuh Zaman
Inskripsi Tertulis "BRITISH & SIAMESE BOUNDRY"
Stesyen Keretapi Pinang Tunggal

Sejarah Keretapi di Tanah Melayu bermula apabila pembinaan landasan dari Taiping ke Kuala Sepetang (Port Weld). Selepas itu pembinaan landasan dimula secara berperingkat di negeri-negeri Tanah Melayu sebelum digabungkan oleh Federated Malay States Railways. Landasan keretapi pertama di Pulau Pinang dibina bagi menghubungkan Prai dan Bukit Mertajam pada 1899 seterusnya dari Prai ke Nibong Tebal pada 1900. Sepertimana yang tercatat di laman web malayarailway.com, pembinan landasan dari Bukit Mertajam ke Alor Star Kedah bermula pada tahun 1912. Menurut laman web itu lagi pada 19 Oktober 1914, laluan Bukit Mertajam ke Pinang Tunggal secara rasminya telah dibuka. Menurut cerita lisan orang-orang tua, sewaktu keretapi pertama kali sampai di Pinang Tunggal ramai yang lari kerana takut dengan bunyi dan rupa keretapi tersebut hingga menyebabkan orang Inggeris terpaksa menangkap dan membawa naik penduduk kampung bagi menyakinkan mereka tentang kegunaan keretapi. Dahulu kawasan di sekeliling stesyen keretapi ini telah membangun dengan pesat dan semua aktiviti ekonomi banyak tertumpu di situ.Kedai kedai cina banyak dibuka di situ.Tapi kini setelah keretapi tidak lagi menjadi pengangkutan utama, kawasan ini telah bertukar menjadi pekan mati.Yang tinggal hanyalah kedai Cina yang lebih dikenali sebagai Kedai Gemuk. Banyak juga deretan kedai yang telah dirobohkan. Apabila saya membaca berita bahawa stesyen ini juga diancam untuk dirobohkan bagi memberi jalan bagi projek landasan berkembar, saya telah mengambil inisiatif merakam beberapa keping gambar untuk sejarah.Kini jika anda datang suasana yang tenang dan indah seperti gambar gambar di bawah sudah tiada lagi kerana telah pun diratakan bagi tujuan landasan kedua.Saya berharap agar Stesyen ini akan terus dikekalkan bagi tatapan generasi akan datang.

Pokok besar yang memayungi landasan kini telah ditebang
Papan Tanda Mercu Pinang Tunggal Yang Dahulunya Cukup Signifikan Kini Telah Tiada
Kaunter Tiket yang dahulunya dipenuhi dengan barisan penumpang
Oleh kerana keretapi zaman dahulu menggunakan kuasa wap, di Stesyen ini juga terdapat sebuah menara air yang digunakan untuk menyalurkan air yang ambil dari sebuah perigi besar dan disalurkan ke dalam dandang enjin stim keretapi. Walaubagai manapun tinggalan sejarah ini telah pun diranapkan oleh pihak pemaju landasan kedua. Perigi besar yang tidak pernah kering itu juga telah pun di timbus.

Jambatan Keretapi Sungai Muda

Sebaik sahaja pembukaan laluan keretapi dari Bukit Mertajam ke Pinang Tunggal siap, rancangan Federated Malay States Railways seterusnya adalah membina landasan dari Pinang Tunggal ke Alor Star. Pada tahun 1914 jugalah rancangan ini dimulakan.Pinang Tunggal dipisahkan oleh Sungai Muda yang agak luas lebarnya. Oleh itu pihak FMSR terpaksa membina sebuah jambatan bagi merentasi Sungai Muda. Jambatan ini merupakan jambatan pertama yang dibina merentasi Sungai Muda. Sebelum ini penduduk menggunakan sampan untuk menyeberang. Selain digunakan oleh keretapi, jambatan ini juga mempunyai ruangan untuk pejalan kaki dan juga kenderaan ringan seperti basikal dan juga motosikal. Pada zaman dahulu jambatan ini merupakan penghubung dan juga jalan pintas bagi penduduk kedua dua Pinang Tunggal untuk ke Sungai Petani atau Kepala Batas menggunakan motosikal. Sepertimana jambatan lain apabila Perang Dunia Kedua meletus bahagian tengah jambatan ini telah diletupkan bagi melambatkan pergerakkan tenteran Jepun.Menurut cerita orang tua juga serpihan bahagian yang diletupkan itu masih boleh dilihat di dasar Sungai Muda jika airnya surut.Setelah lebih seabad memberi khidmat kepada penunggang basikal, pejalan kaki dan penunggal motosikal akhirnya tugas jambatan ini diambil alih oleh Jambatan Baru Sungai Muda yang siap di bina pada tahun 2008. Tambah menyedihkan dikhabarkan jambatan ini akan dileraikan seperti mana yang dilakukan British pada perang dunia kedua apabila jambatan baru keretapi untuk landasan kedua siap dibina.Moga moga pihak KTMB tidak melakukan perkara tersebut sepertimana yang berlaku kepada Jambatan Keretapi Sungai Kerian.Sama sama kita berdoa agar jambatan ini terus kekal sepertimana jambatan Guillermard dan juga Jambatan Victoria

Batas Jepun, Permatang Saga, Pinang Tunggal
Sepertimana yang telah diceritakan diatas berkenaan Jambatan Keretapi Pinang Tunggal yang diletupkan sewaktu kemaraan Tentera Jepun, ramai anak Pinang Tunggal tidak mengetahui wujudnya kesan peninggalan Jepun di Pinang Tunggal. Akibat runtuhnya Jambatan Keretapi Pinang Tunggal kerana dasar bumi hangus yang dijalankan oleh British, pihak Jepun telah mengambil inisatif lain dalam memastikan kemaraan mereka dapat dilakukan tanpa sebarang penangguhan. Sebaik menawan Tanah Melayu pihak Jepun telah mengarahkan tawanan perang dan juga penduduk kampung untuk membina satu batas atau jalan yang menghubungkan lapangan terbang sementara mereka di Padang Serai ke Landasan Keretapi Pinang Tunggal. Sekiranya ada penduduk yang perasan satu ketika dahulu estet getah di Padang Serai Penuh dengan kubu perlindungan kapal terbang (Bunker) sepanjang perjalanan ke Lunas. Jalan yang dibina ini menggunakan sepenuhnya tenaga manusia dan tanah diangkut menggunakan kaedah kandar. Ramai yang menderita dalam pembinaan batas ini kerana didera oleh Jepun. Menurut cerita orang tua juga, Sekolah Kebangsaan Pinang Tunggal telah dijadikan Sekolah Harian Jepun.Arwah nenek saudara saya iaitu ibu kepada pelawak Imuda adalah salah seorang penuntut di sekolah Jepun tersebut.Arwah sendiri mampu berbahasa Jepun dan menyanyikan lagu Jepun.Menurut Arwah, tentera yang benar benar berasal dari Jepun adalah askar yang lemah lembut dan tidak kejam. Yang Kejam adalah askar yang berasal dari Semenanjung Korea dan juga Manchuria. Dahulu topi besi Tentera Jepun banyak terdapat di Pinang Tunggal tapi kebanyakkannya telah hilang begitu sahaja. Kini batas Jepun ini diancam untuk dimusnahkan oleh pembangunan program tebatan banjir.Hampir separuh dari batas ini telah pun diratakan bermula dari rumah pam sehingga menghampiri Jambatan Keretapi. Diharap pihak yang berwajib dapat meninggakan sedikit batas ini untuk tatapan generasi akan datang dan janganlan Batas Jepun ini menerima nasib yang sama seperti Bunker di Padang Serai yang telah ranap diratakan oleh pemaju Estet.

Pemandangan Batas Jepun Dari SisiKetinggian Batas Jepun Jaluran Batas Jepun Dari Jauh