Monday, August 27, 2012

Sekapur Sirih, Seulas Pinang

Alhamdulillah..Alhamdulillah..Alhamdulillah..

Bulan Ramadhan telah pun berlalu pergi. Insya-Allah jika dipanjangkan usia ini, kita akan bertemu lagi bulan Ramadhan pada tahun hadapan, bulan yang lebih baik dari seribu bulan.

Sedar tak sedar blog ini sudah mencecah lebih 2 tahun. Blog Pinang Tunggal Revisit yang dulunya ditubuhkan hanyalah sekadar untuk mengabadikan kisah-kisah menarik dikampung dan coretan kami mengenai perkembangan semasa kampung Pinang Tunggal; namun kami besarkan skop penulisan tentang keadaan sejarah dan peradaban, pembangunan dan kependudukan termasuk sosiobudaya khususnya di kampung Pinang Tunggal.

Ingin kami tekankan disini bahawa apa yang dipaparkan diblog Pinang Tunggal Revisit ini adalah berdasarkan kajian dan penyelidikan penulis secara menyeluruh, namun maklumat dari sumber-sumber yang sahih adalah yang paling kami utamakan. Jika ada sebarang perbezaan pendapat dan maklumat dari luar sana, sila berhubung terus dengan penulis supaya kajian terperinci dapat dilakukan bersama.

Sebagai negeri yang pertama di Malaysia yang ditakluki kerajaan Inggeris, sudah tentu banyak kisah menarik atau unik yang ingin dikongsi bersama. Justeru itu, kami amat mengalu-alukan sebarang bentuk pandangan dan buah fikiran termasuk kisah sejarah yang melibatkan Pulau Pinang (Pinang Tunggal khususnya) untuk diabadikan diblog Pinang Tunggal Revisit. Kami yakin dengan penglibatan dari pelbagai pihak diluar sana bukan sahaja memungkinkan blog ini penuh dengan informasi sejarah, tapi juga sebagai sumber maklumat dan rujukan untuk generasi muda akan datang.

Melalui kerjasama dan sokongan dari Persatuan Sejarah Malaysia, harapan kami usaha yang kecil ini bukan sahaja dapat memberikan manfaat untuk golongan muda, bahkan juga untuk para pengkaji-pengkaji sejarah ditanah air.

Disini kami sidang pengarang Pinang Tunggal Revisit (PINANG TUNGGAL, Kepala Batas) mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada pengunjung blog ini seterusnya kepada seluruh umat Islam yang menyambutnya. Ceria dan senyum selalu.

Sekian,

Administrator,
penangtunggal.blogspot.com

No comments:

Post a Comment