Sunday, February 27, 2011

Program Memulihara Warisan Sejarah Pinang Tunggal

Semenjak kematian salah seorang guru yang kami sayangi iaitu Allahyarhamha Cikgu Sinarsuria, Laman ini seakan sepi dari kunjungan rakan rakan sebaya.Walaubagaimana pun, saya dan rakan terus mengemas kini laman ini dalam memberi input kepada orang luar yang mungkin tidak pernah datang ke Pinang Tunggal ini.

Panggilan telefon pada petang Rabu 23 Februari yang lalu daripada En.Norizan berkenaan satu email yang dihantar oleh seseorang yang dikenali sebagai Pengarang Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Kepala Batas amat mengejutkan saya.Setelah saya membaca dengan teliti saya berasa amat terharu dengan usaha yang di lakukan oleh Cikgu Anuar itu dalam mengetengahkan kisah Batu Terat ini. Berdasarkan tulisan di blog ini beliau telah memanjangkan berkenaan batu sempadan tersebut dalam mesyuarat persatuan tersebut dan masing-masing bersetuju untuk melaksanakan misi memulihara batu sempadan berkenaan. Tarikh 26 Februari 2011 yang lalu telah dipilih sebagai tarikh keramat dalam menjalankan usaha murni berkenaan

Seawal pagi saya telah bergerak ke Pinang Tunggal untuk menunggu rombongan.Saya telah meminta saudara Norizan untuk menunggu di Bangunan UMNO Kepala Batas rombongan tersebut tapi dimaklumkan tiada kelihatan kelibat rombongan berkenaan.Akhirnya saya menyuruh beliau datang mengambil bertemu saya di Pinang Tunggal. Pada hari yang sama satu majlis sedang berlangsung di Tadika Perpaduan Pinang Tunggal.Jadi saya yakin acara kami akan tenggelam dek acara berkenaan.Saya dan Jzan bertolak ke tempat berkenaan.Sesampainya di sana terdapat sebuah kereta sedang menunggu di simpang masuk.Saya dan Jzan terus ke tempat batu berkenaan.Tak lama kemudian deretan kereta dan van mula memasuki kawasan itu.Saya terkejut kerana Y.Bhg Datuk Seri Yahya Abdul Hamid juga sama sama hadir bagi menyaksikan acara membersihkan Batu Terat berkenaan.


Kelihatan dalam gambar ini ialah sekumpulan wirawan dari Kem PLKN Bukit Besar, Kulim Kedah yang kebetulan melakukan akviti kemasyarakatan di Kampung Terat Batu.
Dua orang wartawan dari BERNAMA dan juga KOSMO juga hadir untuk menyaksikan acara berkenaan. Artikel berkenaan batu terat ini telah diterbitkan di Portal BERNAMA.(sila klik untuk membaca)Turun mengiringi Y.Bhg Datuk ialah wakil penduduk kampung Terat Batu yang juga mengetahui serba sedikit sejarah batu berkenaan. Saya berasa agak terkilan kerana tak ada wakil penduduk dari Pinang Tunggal kecuali kami berdua sahaja.
Kelihatan para wirawan sedang berkira kira cara terbaik dalam membersih dan mengecat semula batu berkenaan


Saya juga amat terharu melihat kesungguhan sekumpulan wanita yang saya percaya ahli persatuan sejarah cawangan Kepala Batas yang sanggup meredah belukar dan panas terik untuk sama sama menyaksikan tinggalan sejarah berkenaan.
Kehadiran Penaung kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kepala Batas iaitu Y.Bhg Datuk Seri Yahaya Abdul Hamid pada sesi berkenaan sedikit sebanyak membantu usaha kami memohon bantuan kerajaan dalam memulihara warisan sejarah berkenaan. Kelihatan para wartawan sedang menemuramah beliau berkenaan batu berkenaan.
Di atas adalah gambar rombongan yang terlibat dalam sesi membersih dan memulihara warisan Batu Terat pada sabtu lepas.


Salah seorang ahli sedang meloret semula inskripsi yang tertulis pada Batu Terat berkenaan supaya dapat dibaca.
Kelihatan tulisan dalam Bahasa Inggeris dan Siam telah jelas kelihatan. Sayangnya tak ada tulisan Jawi yang tertulis di situ.Ini menunjukkan bahawa Inggeris tidak pernah mengiktiraf Kedah sebagai pemilik Pulau Pinang yang asal.


Penaung Kehormat dan salah seorang ahli bergambar di sebelah Batu Terat yang telah siap di bersihkan dan di cat semula.


Pengarang Kehormat iaitu Cikgu Anuar bergambar di sebelah Batu Terat berkenaan.Terima kasih diucapkan atas usaha beliau merealisasikan impian kami supaya warisan berkenaan terpelihara untuk tatapan berkenaan.


Selesai sahaja sesi membersih,mengecat dan mendokumentasikan batu berkenaan, pihak kami di jemput oleh jawatankuasa Qaryah Masjid Terat Batu untuk sedikit jamuan ringan.Kami amat terharu dengan layanan yang diberikan oleh penduduk Terat Batu.
Pihak saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kepala Batas, Y.Bhg Datuk Seri Yahaya atas kesudian berpanas terik bersama kami pada pagi berkenaan.Tidak lupa juga kepada Cikgu Anuar pendokong utama yang merealisasikan usaha memulihara warisan berkenaan.



Sebelum mengakhiri tulisan kali ini saya ingin berkongsi serba sedikit maklumat yang diperolehi sepanjang sesi berkenaan berkenaan mitos dan juga sejarah Batu Terat berkenaan. Menurut salah seorang penduduk tua yang hadir pada sesi berkenaan, jarak Batu Terat ini dipasang adalah berdasarkan peluru meriam British yang jatuh apabila di tembak dari Puncak Bukit Bendera.Memang di atas puncak Bukit Bendera tersergam indah selaras Meriam British yang besar.Penduduk percaya untuk ukuran tanah dari Pantai hingga ke situ pihak british telah menembak meriam berkenaan dan pelurunya jatuh di kawasan itu. Teori ini diberi berdasarkan andaian bahawa British hanya mahukan tanah yang mampu dilindungi olehnya sahaja walaupun pada realitinya sukar untuk teknologi meriam pada waktu itu untuk pelurunya sampai dari Bukit Bendera hingga ke situ.Tapi kalau hari ini kecanggihan meriam seperti Howitzer memungkinkan fakta berkenaan.
Mungkin meriam yang di sebut adalah meriam ini. Gambar ini adalah gambar yang diambil oleh sahabat saya sewaktu melawat Bukit Bendera tahun lalu

Disamping itu di pinggiran Batu Terat ini terdapat satu kawasan perkuburan lama yang wujud sejak zaman British lagi.Dipercayai kawasan itu berpenunggu dan di kawal oleh hantu tinggi. Jika sebelum ini saya hanya mendengar mitos berkenaan dari arwah nenek tapi pada hari berkenaan saya mendengar sendiri daripada pihak penduduk kampung.

Penduduk kampung Terat Batu juga memaklumkan terdapat banyak lagi batu sempadan yang lebih kecil saiznya berselerakan di dalam kawasan estet kelapa sawit berdekataan.Memang tak dinafikan ada banyak lagi batu sempadan yang lebih kecil.Tapi menurut cerita orang tua dahulu cuma terdapat 3 batu Terat yang asal iaitu yang pertama di sini, keduanya di Kaki Bukit Mertajam dan yang ketiga di Seberang Prai Selatan yang membahagikan kedah, Pulau Pinang dan Perak.. Saya berharap suatu hari nanti saya beroleh kesempatan sekurang kurangnya melihat kembar batu Terat berkenaan di Seberang Perai Selatan Pula.

3 comments:

  1. Assalamualaikum, sya memang dh agak, PELATIH PLKN KEM PLKN BUKIT BESAR KULIM dalam gambar memamng dari KUMPULAN 2, SIRI 8 TAHUN 2011. Ia adalah bekas2 kawan2 sya msa sya di sana... :) kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan utk Program Khidmat Komuniti Ini. x sangka saya jumpa gmbr ini.

    ReplyDelete